Adik, abang temui ajal bersama di Sungai Kelantan

0
119

PASIR MAS: Dua beradik yang hilang sejak 6 petang tadi ditemui lemas di Sungai Kelantan di Kampung Hujung Galok, di sini, malam ini.

Mayat Muhammad Zulfitri Nor Zahri, 11 dan Nur Afifah Nor Zahri, 8, ditemui di dasar sungai kira-kira jam 10 malam.

Mayat dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Difahamkan mangsa yang berkelah bersama keluarganya lemas dipercayai turun ke tebing sungai dan memasuki kawasan pasir jerlus dan terus dihanyutkan arus sungai sebelum lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohamad Nazri Ab Wahab, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 6.04 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, seramai lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan, Adnan Mohd Juri, menjalankan operasi mencari mangsa.

“Operasi pencarian dilakukan di permukaan sungai sebelum ditangguhkan pada jam 7.30 malam berikutan keadaan gelap dan berisiko.

“Pada jam 9 malam, selepas analisa risiko dan bahaya dibuat, operasi disambung dengan bantuan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kelantan dan dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Operasi pencarian ditumpukan di lokasi terakhir mangsa dilihat dan berjaya menemukan kedua-dua mangsa di dasar sungai oleh PPDA,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat dua beradik itu dikenal pasti oleh keluarganya.

“Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here