Adib dalam van ketika lori bomba berundur – Saksi ketiga

SHAH ALAM: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim masih berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) berundur sewaktu diserang sekumpulan orang awam.

Pegawai Perubatan yang juga pemandu van EMRS berkenaan, Ahmad Shahril Othman, berkata ketika FRT berkenaan berundur, ia seperti menolak kenderaan dipandunya.

Katanya, ketika itu Muhammad Adib berada di sebelahnya dan mereka masih berkomunikasi.

Ahmad Shahril berkata, sebelum itu beliau nampak seorang lagi anggota pemadaman bernama Hazim turun dari sebelah kanan jentera FRT ke loker di sebelah kiri belakang kenderaan itu.

Beliau berkata, sebelum sempat Hazim menarik hos dari loker itu, beliau diserbu oleh sekumpulan orang awam dan tidak ternampak kelibatnya.

“FRT tidak berapa laju sangat. Saya masih berkomunikasi dengannya (Muhammad Adib).

“Saya cakap ‘lajunya si Hazim’. Dia (Muhamad Adib) tidak jawab.

“Dia tercengang dan tangan kanan pegang papan pemuka hadapan kereta dan tangan kiri diletakkan di pintu van,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah.

Ahmad Shahril, 36, adalah saksi ketiga dalam inkues kematian Muhammad Adib yang didengari di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, bermula hari ini.

Terdahulu, Ahmad Shahril memberitahu mahkamah beliau bertugas bersama Muhammad Adib bermula jam 8 malam 26 November 2018 hingga 8 pagi esoknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, Rofiah dan pihak yang terbabit dalam perbicaraan inkues itu dijangka melawat lokasi kejadian apabila prosiding bersambung esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *