Adakah saya ini gengster? – Norhizam

0
6684

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu di Melaka, NORHIZAM HASSAN BAKTEE kini dilabelkan sebagai Yang Berhormat (YB) Samseng, YB Gengster, YB Biadab lantaran sikapnya yang dikatakan terlalu agresif ketika bertemu penduduk dan gelaran itu tersebar ke seluruh negara apabila rakaman video membabitkan beliau tular dalam laman sosial.

Antara isu yang dikaitkan adalah kekecohan ketika beliau mengetuai serbuan di stor simpanan baja di Merlimau pada Ogos lalu diikuti perbalahannya dengan sekumpulan nelayan di Kampung Hailam, Tanjung Kling beberapa hari kemudian dan terbaharu, pertengkaran dengan sekumpulan penduduk berhubung penutupan jalan perumahan di Taman Akasia, kelmarin.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR dan jurufoto AZLI AHAD, Norhizam menjelaskan tindakan yang dilakukannya itu bersebab iaitu demi kepentingan rakyat.

UTUSAN: Satu Malaysia heboh memperkatakan tindakan YB yang bertelagah dengan penduduk, boleh jelaskan apa yang berlaku di Taman Akasia?

NORHIZAM: Setibanya saya di sana, saya ‘diserang’ sekumpulan 10 penduduk Pengkalan Batu dengan kata-kata yang tidak sepatutnya seperti jalan ini tidak patut ditutup tetapi dalam masa yang sama apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri membuat penerangan, mereka masih tidak boleh menerima malah menuding jari kepada saya dengan suara yang tinggi. PBT sendiri menerangkan kepada mereka bahawa jalan taman itu memang boleh ditutup kerana mereka sudah menaik taraf jalan baharu di laluan utama.

UTUSAN: Tetapi netizen mempersoalkan tindakan YB apabila menengking penduduk yang lebih berusia.

Saya hendak beritahu netizen, apabila saya berdepan situa­si agak keras maknanya saya ‘diserang’, saya dikata, dicaci dengan nada yang tinggi tetapi benda itu tidak dirakamkan, jadi saya perlu menjawab dengan nada yang agak tinggi. Saya mengaku ada meninggikan suara kerana kalau tidak, saya tidak boleh bercakap dan suara akan tenggelam.

Saya tidak tahu ada pihak cuba ambil kesempatan mera­kam kejadian itu, apa yang saya cakap dia rakam tetapi yang penduduk maki saya mereka tidak rakam. Semua ini seolah-olah dirancang untuk menjatuhkan imej saya, disunting sebab itu tular dalam banyak slot. Jika berani siarkan keseluruhan kejadian itu dan semua ini tidak membuatkan saya gentar kerana saya bekerja kerana Allah.

UTUSAN: YB dipilih oleh penduduk di DUN Pengkalan Batu tetapi inikah balasan yang di­terima mereka?

Insiden itu bukan soal politik sebaliknya soal keselamatan dan kepentingan kanak-kanak di kawasan taman perumahan itu dan perlu saya jelaskan ia bukan kepentingan sesuatu kaum semata-mata kerana taman itu penduduknya bercampur ada Melayu, ada Cina dan sebagai­nya.

Kebajikan kaum Melayu pun saya jaga juga contohnya di Su­ngai Rambai serbuan di stor menyimpan baja sebelum ini, saya sudah terima surat daripada Pejabat Tanah dan Daerah Jasin bahawa bangunan itu tidak sepatutnya dibina dan ia telah dirobohkan. Dulu ada pertikaikan serbuan itu tetapi saya puas hati kerana kes ini membuktikan saya berjuang di pihak yang benar iaitu mempertahankan hak dan kebajikan orang Melayu.

UTUSAN: Insiden itu menye­babkan YB terkenal dalam laman sosial tetapi ada pihak mengaitkan latar belakang YB sebagai bekas pemandu van kilang dan hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Soal pendidikan bukan per­kara utama sebaliknya bagi saya yang penting adalah kerja. Saya adalah antara Exco kerajaan negeri yang kerap turun padang. Saya buat kerja dan kalau ada salah guna kuasa saya terus adukan kepada pihak ber­kuasa.

Bagi saya kalau siapa makan cili dia yang akan terasa pe­dasnya, kalau dulu dia tidak buat kerja maka bila saya kerap turun padang dia akan anggap saya ini sebagai penghalang jadi sebagai penghalang cara hendak ‘buang’ adalah dengan menggunakan netizen hentam saya.

UTUSAN: Adakah YB akan mengubah pendekatan apabila berurusan dengan penduduk dan rakyat selepas ini?

Kalau berdepan dengan singa atau harimau adakah saya perlu menghadapinya seperti saya berdepan dengan kucing? Jadi tengok keadaan kalau ia dalam lembut maka lembutlah ia dan kalau keras, maka keraslah ia.

Bukan saya kurang ajar atau biadab. Anda boleh tanya penduduk di Pengkalan Batu adakah saya ini gengster, mereka semua kenal saya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here