‘Acik, Aleya dah mati’ – Anak suspek secara tak sengaja dedah cerita sebenar

LANGKAWI – Ibu kandung kepada Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang ditemukan mati dipercayai dibunuh sudah diberitahu secara ‘tidak sengaja’ oleh salah seorang anak suspek bahawa kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, Rosmaliah Semo, 32, berkata, ketika ditanya semula keesokan harinya, kanak-kanak itu memberitahu pula Nur Aisyah Aleya sebenarnya sudah diberikan kepada orang lain.

“Pada 23 Februari lalu, saya pergi ke rumah mereka dan tanya salah seorang anak suspek mana Aleya? Dia jawab, Acik…Aleya dah mati tetapi saya tak anggap perkara tu betul kerana memikirkan dia masih budak-budak.

“Namun, pada masa sama memang saya sudah tak sedap hati, esoknya saya pergi lagi dan tanya soalan sama, dia jawab Aleya dah diberikan kepada orang lain mungkin kerana sudah diberi amaran oleh bapanya yang memang jenis panas baran dan mudah melenting,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Nur Aisyah Aleya ditemukan mati di Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi ini dalam keadaan menyayat hati apabila hanya tinggal tengkorak kepala dan cebisan rambut miliknya.

Tambah Rosmaliah, baru-baru ini, dia juga pernah bermimpi bahawa Nur Aisyah Aleya itu merayu agar segera mengambilnya sebelum mengetahui perkara sebenar bahawa anaknya sudah meninggal dunia hari ini.

“Suspek (lelaki) juga ada datang ke tempat kerja saya dan sering beritahu Aleya ok, tiada masalah dan minta saya jangan risau serta kerja macam biasa.

“Tetapi saya tahu anak saya memang sering dipukul lelaki itu selain ada kesan melecur akibat dicucuh rokok dan lebam di badan, cuma saya tak berani nak tegur,” katanya yang turut cuba mengambil kanak-kanak itu namun tidak dibenarkan suspek.

Mengakui mengenali suspek sejak November tahun lalu, Rosmaliah berkata, dia menumpang di rumah pasangan itu sementara mencari penginapan setelah mahu mencari kerja di Pulau Langkawi.

Katanya lagi, dia dikenalkan kepada isteri suspek sebagai kenalan sebelum hubungan sulit mereka diketahui wanita itu tidak lama kemudian sehingga dihalau keluar dari rumah itu.

“Saya memang tak boleh terima apa yang dia buat kepada Aleya kerana perkara itu terlalu kejam tetapi biarlah undang-undang yang menghukumnya dengan hukuman setimpal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *