Portal berita terbaik anda

Utama

Abdul Bari, 5 penyelamat terima anugerah Wira Darul Iman

KUALA TERENGGANU – Sebagaimana dijanji, malam tadi kerajaan negeri memberikan penghargaan khas kepada enam individu yang bertarung nyawa menyelamatkan lima mangsa tragedi pacuan empat roda yang terjunam ke sungai di Pulau Warisan, 8 Februari lalu.

Kesemua mereka diraikan serta menerima anugerah Wira Darul Iman dalam program Himpunan Belia dan Beliawanis Terengganu (Hebat) yang berlangsung di Stadium Negeri di sini malam tadi.

Mereka ialah Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28; Saiful Anuar Mohd, 37; Mohd. Amiro Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Shahrul Mizan Harun, 34, serta Mohd. Mustafa, 66, yang mewakili anaknya, Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, yang terkorban dalam tragedi itu.

Allahyarham Abdul Bari Asyraf menerima insentif RM10,000 dan sijil penghargaan manakala lima lagi Wira Darul Iman itu mendapat RM3,000 serta sijil penghargaan setiap seorang.

Anugerah serta insentif itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut menyempurnakan program Hebat yang julung kali diadakan itu.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Tuan Faezah Tuan Abd. Rahman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; barisan EXCO Kerajaan negeri dan sebahagian wakil rakyat.

Program yang dihadiri lebih 1,000 belia dan beliawanis Terengganu itu dimulakan kira-kira pukul 9 malam dan berakhir hampir pukul 12 tengah malam.

Hadirin turut disajikan dengan penampilan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah sebagai panel manakala Pengarah Institut Modal Ihsan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah selaku moderator. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply