Abang Siti Sarah kembali sedar selepas sehari ditidurkan, wajah nampak ceria dan tersenyum

SELEPAS 24 jam ditidurkan akibat paras oksigen menurun, abang Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Ahmad Firdous akhirnya kembali sedarkan pada pagi Jumaat.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan keadaan abang iparnya itu yang dilihat semakin baik.

Malah suami kepada Allahyarham Siti Sarah itu juga mengajak orang ramai untuk terus berdoa untuk semua pesakit yang sedang bertarung nyawa.

“Allahuakbar! Allah Maha Besar! Syukur dah buka mata! Terima kasih pada yang mendoakan. Tapi kita sambung lagi doa untuk yang lain sedang bertarung nyawa.

“Kita nak semua orang kembali sihat! Balik jumpa keluarga. Amin. Syukur Ya Allah,” kongsi Shuib.

Pelawak berusia 37 tahun itu turut memuat naik foto dia dan bapa mentuanya iaitu Raisuddin Hamzah membuat panggilan video bersama Ahmad Firdous.

Menerusi perkongsian foto tersebut memperlihatkan Ahmad Firdous yang masih memakai alat bantuan pernafasan tersenyum dan dalam keadaan ceria.

Rata-rata netizen serta rakan selebriti turut meluahkan rasa syukur dan mendoakan agar abang ipar kepada Shuib itu cepat sembuh daripada Covid-19.

Menerusi laporan mStar pada malam Khamis, Ahmad Firdous yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Serdang berada dalam keadaan tidak baik.

Untuk rekod, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir disebabkan komplikasi berpunca Covid-19 pada Isnin lalu selepas tiga hari ditidurkan.

Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih berada dalam pemantauan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *