Portal berita terbaik anda

Utama

‘Abah cuba selamatkan abang sebelum kedua-duanya lemas’ – Anak mangsa

JERANTUT – Usyair Iskandar Zulkarnain sempat mendengar abang sulungnya meminta tolong dan melihat bapa cuba menyelamatkan abangnya itu, sebelum kedua-dua mereka hilang dibawa arus akibat limpahan Sungai Puas dekat Kampung Gintong di sini, semalam.

Usyair Iskandar, 13, berkata, ketika kejadian 10.30 malam itu, keadaan gelap yang mengehadkan pandangan sekali gus menyukarkan usaha dia untuk menyelamatkan abangnya, Uqail Iskandar, 23, dan bapa, Zulkarnain Hitam, 58.

“Kami sedang mengharung air ketika abang meminta tolong, manakala abah yang berada di belakang cuba menyelamatkannya.

“Selepas itu saya tidak dengar lagi suara abang dan abah. Ketika itu air begitu deras dan saya cuba juga membantu mencari (mereka) tetapi tidak nampak apa-apa kerana gelap,” katanya menceritakan kejadian berlaku ketika ditemui, hari ini.

Menurut remaja itu, dia nekad menyelam dan meraba dalam air untuk mencari mereka selama beberapa minit, sebelum tersentuh kaki bapanya serta segera menariknya ke tempat selamat.

Katanya, ketika itu Zulkarnain sudah tidak sedarkan diri, manakala seorang lagi abangnya, Umar Iskandar, 17, sudah berada di tempat selamat dan cuba mendapatkan bantuan.

“Mujur orang kampung berada di lokasi segera membantu kami,” katanya yang memberitahu mereka pulang ke kampung untuk mengambil barang sebelum kawasan berkenaan ditenggelami banjir.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan berkata, Zulkarnain ditemukan lemas kerana dihanyutkan arus, manakala usaha mengesan Uqail Iskandar yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang masih giat dijalankan.

“Operasi mencari dan menyelamat membabitkan 17 anggota terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang ditangguhkan pada 3.30 pagi, disambung pada 9 pagi dan sehingga petang ini masih belum menemui mangsa,” katanya.

Loading...

Leave a Reply