Portal berita terbaik anda

Utama

9 sekeluarga mati lemas, kereta terjunam dalam sungai

KUCHING – Tahun baharu 2021 di Sarawak bermula dengan tragedi apabila sembilan orang termasuk seorang bayi dan seorang kanak-kanak lelaki, lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso, kira-kira 120 kilometer dari sini petang tadi.

Menurut maklumat awal Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak, kesemua mangsa yang merangkumi lima lelaki dan empat perempuan itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.


Jurucakap PGO berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Saratok yang terletak kira-kira 98 km dari kawasan berkenaan, digegaskan ke lokasi namun mendapati kesemua mangsa telah dibawa naik ke atas jeti semasa mereka tiba.

“Kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, identiti mangsa belum diperoleh.

Bomba dedah punca tragedi

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak tidak menolak kemungkinan tragedi kenderaan terjunam ke sungai di pangkalan feri Triso dekat Sebuyau sehingga mengorbankan sembilan keluarga disebabkan gagal mengimbangi kenderaan di laluan berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan JPBM Sarawak, Henderi Ardimansyah memaklumkan, mangsa yang merupakan seorang wanita ketika itu sedang memandu keluar selepas diarah berpatah balik daripada feri akibat muatan penuh.


“Saya difahamkan, muatan feri telah penuh. Jadi, apabila muatan feri berkenaan telah penuh, maka kenderaan-kenderaan yang berada di laluan feri itu diminta untuk berpatah balik.

“Jadi, dalam keadaan ini, situasi ataupun kejadian telah berlaku yang mana pemandu tidak berjaya mengimbangi kelajuan atau penglihatannya untuk melihat laluan tersebut,” jelasnya kepada Astro AWANI.

Tambah Henderi, kenderaan itu datang dari Sibu dan sedang dalam perjalanan ke Kuching.

“Sebenarnya kita difahamkan, terdapat dua buah kenderaan konvoi dari Sibu menuju ke Kuching, tetapi kenderaan yang terlibat hanya sebuah sahaja yang di dalamnya terdapat sembilan mangsa berkenaan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply