(8 Gambar) Pelajar maut kemalangan ketika pulang untuk mengundi

0
262

“ARWAH pulang untuk mengundi kali pertama, tapi tak sangka ajal yang menanti,” kata ibu kepada Mohd Fadzil Mohd Zuki, 23, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Machang berhampiran Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, Bachok, hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi, Mohd Fadzil, 23, yang juga pelajar tahun akhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dalam perjalanan pulang untuk mengundi sebelum kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan.

Wan Azura Wan Hassan, 44, berkata arwah sepatutnya mengundi buat pertama kali di Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Lalang, Rabu ini.

“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah petang semalam, dia (arwah) kata nak balik mengundi, tapi dia juga ada cakap ‘pelik’ apabila kata ‘tokse balik sokmo’ (tak nak balik kerap),” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Beris Lalang, Bachok, hari ini.

Menurutnya, malam sebelum kejadian dia ada bermimpi apabila seorang anak saudaranya datang mengemas rumah sehingga bersih, namun tidak menyangka itu petanda dia akan kehilangan anak ketiga daripada sembilan beradik itu.

“Arwah juga sepatutnya tamat belajar bulan depan sebelum menjalani pratikal dan menamatkan pengajian di USIM,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, mangsa bersama rakannya yang juga pemandu Proton Persona, Mohammad Huzaimy Hasbullah, 27, baru sahaja melalui Jalan Kota Bharu-Machang dari Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang berada di tempat duduk hadapan penumpang tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta mengalami cedera ringan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Nibong Ulu, Beris Lalang pada 2.30 petang tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here