Portal berita terbaik anda

Utama

6 bulan sediakan kaedah pembayaran royalti minyak – Azmin

PENAMPANG: Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan untuk memperhalusi kaedah pembayaran tuntutan royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak diberi masa enam bulan untuk berbincang dan membuat keputusan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tempoh itu diberikan untuk menyediakan cadangan sebelum keputusan muktamad bagaimana peningkatan royalti minyak daripada lima peratus ke 20 peratus itu, akan dijalankan.

Ini adalah antara isu yang dibincangkan semasa perjumpaan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohamad Shafie Apdal, semasa lawatan kerja beliau ke negeri ini.

Jawatankuasa khas itu juga akan mempunyai wakil dari Sabah dan Sarawak, katanya selepas mesyuarat tertutup dengan kepimpinan PKR Sabah di sini hari ini.

“Ini (peningkatan bayaran royalti) akan membantu pembangunan di Sabah … Saya sebagai salah seorang ahli jawatankuasa ini dan kami akan kembali dengan cadangan selepas enam bulan untuk dibentangkan kepada Kabinet.

“Perbincangan baru berlaku (jadi) tidak mahu kemukakan secara umum kerana rundingan sedang berjalan dengan empat negeri iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan, namun kaedah itu harus dipersetujui oleh kerajaan negeri.

“Kita mesti rujuk kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam perkara ini termasuk memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipenuhi … Ini juga seperti dalam terma rujukan jawatankuasa kabinet yang dibentuk untuk melihat perlaksanaan MA63,” katanya lagi.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesa semua menteri kabinet memastikan Sabah dan Sarawak mendapat pembangunan yang adil dan hak kedua-dua negeri itu diberi seperti yang termaktub dalam MA63.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR, mendedahkan sebanyak RM1.84 juta peruntukan untuk pertingkatkan keselamatan Sabah belum lagi digunakan.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan itu yang sudah diluluskan tahun ini oleh kerajaan sebelum ini belum lagi melihat projek dilaksanakan untuk meningkatkan keselamatan maritim terutamanya di kawasan sudah dikenal pasti di pantai timur.

“Kita sudah memasuki suku keempat tetapi tiada wang (daripada peruntukan) dibelanjakan lagi. Tiada projek dikenal pasti untuk meningkatkan keselamatan perairan Sabah. Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan maritim berhadapan masalah.

“Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) memaklumkan saya bahawa kerajaan negeri perlu membelanjakan sebanyak RM600,000 bagi menyediakan diesel untuk bot pasukan keselamatan,” katanya hari ini.

Berhubung peruntukkan RM4.1 yang diluluskan untuk Sabah, Mohamed Azmin berkata beliau akan memastikan dana itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberi keutamaan kepada pendidikan terutamanya memastikan semua sekolah usang diperbaiki.

“Proses yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tidak telus dan ia mengganggu penambahbaikan (sekolah usang). Walaupun Jabatan Kerja Raya berjaya menguruskan 37 sekolah, namun 84 sekolah yang diberikan kepada kontraktor UMNO tergendala,” katanya.

Loading...

Leave a Reply