5 geng akak ‘sanggul’ didenda RM4,000 kerana bergaduh di jalan raya

KOTA BHARU – Lima individu termasuk dua wanita yang terbabit dalam pergaduhan di Jalan Pasir Tumboh di sini, Selasa lalu dan tular di Facebook serta aplikasi WhatsApp mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi mengaku tidak bersalah dan mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Lima tertuduh yang mengaku bersalah itu dikenakan denda RM4,000 seorang manakala tertuduh yang mengaku tidak bersalah diberi jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, enam tertuduh terbabit iaitu Mohd Fakhrudin Mat Zain, 47; Siti Nor Farah Shazlina Supian, 33; Nur Ashikin Rozaini, 23; Siti Munirah Rizan, 22; Samsuddin Mohamad Sidik, 45, dan Muhammad Syahrul Fahmi Abdullah, 24, didakwa merusuh di tempat awam.

Perbuatan mereka menyebabkan seorang lelaki, Mohamad Hamdi Hanafi, 30, mengalami luka di bahagian muka, leher, bibir, belakang badan, siku kanan dan lutut kanan dalam kejadian di tepi Jalan Pasir Tumboh, 5 petang, pada 13 Julai 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kejadian pergaduhan di Jalan Pasir Tumboh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mengikut fakta kes, ketika Hamdi berjalan seorang diri di tempat kejadian, seorang lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza bersama tiga wanita berkata kepada mangsa ‘mung gilo ko’.

Mangsa kemudian menendang pintu kereta sebelah pemandu sebelum berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa sekali lagi menendang kereta di bahagian but hadapan.

Pemandu kenderaan itu kemudian keluar dari kereta dan menghampiri serta memukul mangsa sehingga terjatuh. Kemudian beberapa orang lagi datang memukul hingga mangsa cedera di seluruh badan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Ramli manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Samhana Aidenan.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM4,000 kepada lima tertuduh yang mengaku bersalah dan menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh untuk serah dokumen untuk tertuduh, Nur Ashikin yang mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan RM2,500.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *