42 ahli Geng 360 Devan dipenjara setahun

0
74

SERAMAI 57 lelaki yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng 360 Devan dibawa ke Penjara Kajang, hari ini bagi menghadapi pertuduhan pindaan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Kesemua tertuduh yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) menjalani prosiding di dewan kompleks penjara berikutan isu keselamatan.

Pada prosiding bermula jam 10.10 pagi, wartawan mengikuti prosiding melalui tayangan projektor, manakala jurugambar hanya dibenarkan berada di pintu pagar utama kompleks penjara.

Sebaik tuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan, 42 tertuduh yang memakai baju penjara oren dan hijau serta berpakaian biasa, mengaku salah terhadap pertuduhan menganggotai pertubuhan menyalahi undang-undang.

Mereka berusia antara 23 hingga 63 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Perniagaan Masria, Batu 9 Cheras, Kuala Lumput antara 2013 dan 2017.

Kesalahan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama setahun bermula dari tarikh ditangkap iaitu sejak tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Abd Halim Aman dalam penghakimannya menasihati kesemua tertuduh supaya insaf dan tidak lagi membabitkan diri dalam pertubuhan yang menyalahi undang-undang

“Ketika membuat rayuan, kebanyakan mereka (tertuduh) cakap sudah insaf dan tidak akan ceburi lagi (kesalahan sama). Jika keinsafan ini jujur, ia adalah untuk kebaikan untuk diri sendiri.

“Masa depan mereka cerah. Kebanyakan tertuduh adalah warga emas. Nasihat saya pada anda supaya insaf,” katanya.

Sementara itu, seramai 14 lagi tertuduh mengaku tidak bersalah manakala seorang lagi dilepas tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, menarik balik kes terhadapnya.

Semua tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini bagi tarikh perbicaraan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here