Portal berita terbaik anda

Utama

4 kakitangan TNB tersesat ditemui selamat

KUALA BERANG: Empat kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilaporkan tersesat di Hutan Simpan Sultan Mizan dekat Felda Mengkawang, di sini, selepas membuat pemeriksaan di puncak TNB (Tower Top Inspection), ditemui dalam keadaan selamat selepas 15 jam terkandas dalam hutan berkenaan.

Dalam kejadian itu, mangsa Nor Muslim Mohd Dom, 51; Mohd Amirul Ismail, 30; Muhammad Syazwan Wahab, 30; dan Ahmad Khairi Azman Mohamed, 29, bersama empat lagi kakitangan TNB masuk ke hutan berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap menara bervoltan tinggi di lokasi terbabit.

Bagaimanapun, empat daripada mereka keluar lebih awal dari lokasi, manakala mangsa dilaporkan menuju ke kenderaan pacuan empat roda kira-kira jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata kehilangan keempat-empat mangsa dilaporkan pada jam 7 malam tadi selepas dua jam tersasar dari laluan sebenar untuk menuju ke kenderaan mereka.

“Justeru, pada pagi ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) keempat-empat kakitangan TNB itu dilancarkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan ahli Kelab Pacuan Empat Roda Hulu Terengganu di hutan berkenaan.

“Seorang daripada mangsa berjaya keluar dari hutan itu dan ditemui di Kampung Lubuk Periuk kira-kira jam 9.40 pagi tadi sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Tiga lagi mangsa berjaya ditemui oleh pasukan SAR pada jam 10.25 pagi di dalam hutan terbabit, sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika dijumpai, mereka dalam keadaan lemah kerana tersesat lebih enam kilometer dari laluan asal, namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui selepas Ops SAR ditamatkan.

Operasi membabitkan 54 pegawai dan anggota penyelamat termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Gong Badak, Kuala Nerus itu ditamatkan pada jam 12 tengah hari tadi.

Loading...

Leave a Reply