Portal berita terbaik anda

Utama

35 tahun menunggu, Che Nah sujud syukur terima lesen perniagaan

SEORANG warga emas Che Nah atau Minah Awang, 71, yang menjalankan perniagaan kederaan saji sujud syukur selepas menerima lesen perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) .

Lesen tersebut diserahkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pagi ini.

Tanpa disangka-sangka wanita warga emas tersebut terus sujud syukur sebaik menerima lesen berkenaan sambil menitiskan air mata kerana sebak dan terharu.

“Terima kasih ya. Alhamdullilah,” kata Che Nah.

Annuar cuba menenangkan peniaga kenderaan saji (food truck) di Jalan Medan Setia Bukit Damansara itu yang jelas gembira menerima lesen yang diimpikan selama ini.

Mak cik tersebut sebelum ini ‘ditangkap’ oleh Annuar dua hari lalu kerana berniaga tanpa lesen. Cerita tersebut di kongsi Annuar di Twitternya.

”Sambil merayau ternampak Mini Foodtruck Kak Nah. Singgah borak..Tanya berapa lama dah niaga, katanya dah lama..

”Ada lesen kak?…tak ada! Ha ha..teruskan berniaga Kak Nah. Semoga terus maju Cari rezeki lesen boleh di uruskan nanti,” tulis Annuar.

Hari ini Annuar menunaikan janji menolong warga emas itu mendapatkan lesen untuk menjalankan perniagaan secara sah di ibu negara.

“Kita sedar selepas Covid-19 ini banyak orang hilang kerja. Sebelum ini pun kehidupan di Kuala Lumpur mencabar dan semua orang perlu menambahkan pendapatan keluarga masing-masing. Cik Nah ini menjadi contoh hidup susah, suami meninggal tapi sanggup berusaha bawa trak.

“Yang saya risau kalau tidak mahu bekerja. Kalau warga kota yang ingin bekerja secara halal secara betul, mematuhi peraturan saya nak menggalakkan. Cuma kena kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mencari tempat yang sesuai, tidak menghalang kenderaan dan jaga kebersihan,” kata Annuar.

Beliau juga mahu DBKL memudahkan urusan peniaga yang menepati syarat untuk mendapatkan lesen.

Gerai Che Nah Nasi Dagang ini boleh tahan popularnya. Bagi mereka yang tinggal di Taman Tun Dr Ismail, anda pasti akan biasa dengan ‘food truck’ mereka yang terletak di seberang McDonalds.-SM

Loading...

Leave a Reply