Portal berita terbaik anda

Utama

30,000 penduduk Kuala Terengganu bakal hilang hak milik tanah

KUALA TERENGGANU – Lebih 30,000 penduduk daerah ini berdepan risiko kehilangan hak milik tanah berikutan kegagalan menjelaskan tunggakan hasil melebihi RM2.3 juta.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Zulkifli Ali, menegaskan tindakan melucutkan hak milik tanah akan dilakukan selepas menghantar notis borang 6A, Seksyen 100, Akta Kanun Tanah Negara.

Walaupun Pejabat Tanah dan Galian (PTG) boleh mengambil tindakan melucutkan hak milik, beliau berkata, kerajaan tidak akan menganiaya pemilik, sebaliknya menghantar surat amaran terlebih dahulu.

“Jika pemilik gagal menjelaskan tunggakan hasil, kita akan menghantar notis borang 6A, Seksyen 100, Akta Kanun Tanah Negara dan mereka diberi tempoh tiga hingga enam bulan sebelum pelucutan hak milik dilakukan.

“Siasatan awal mendapati sikap menangguhkan bayaran hasil cukai tanah menjadi punca utama hingga menyebabkan berlaku tunggakan sejak 1980,” katanya ditemui selepas merasmikan Jom Singgah Pekan Budaya Daerah Kuala Terengganu di Dataran Shah Bandar di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, kadar cukai tanah dikenakan bagi setiap lot tanah pelbagai saiz dan lokasi antara RM5 hingga RM1,000 setahun.

Katanya, seramai 75,494 pemilik tanah berdaftar dikesan di daerah Kuala Terengganu, membabitkan 35,000 lot tanah.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Pejabat Daerah Kuala Terengganu akan terus berusaha membangunkan industri pelancongan di daerah ini yang menjadi penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri selepas petroleum.

Katanya, beberapa produk dan lokasi berpotensi dimasukkan dalam Kalendar Tahun Melawat Terengganu 2020 (TMT20), iaitu Pesta Bot penambang, Pesta Beca roda Tiga serta menjadikan puncak Bukit Besar sebagai menara tinjau selain Jambatan Angkat.

Loading...

Leave a Reply