Portal berita terbaik anda

Utama

3 remaja dihadap ke mahkamah, gagal patuhi arahan PKP

TAIPING – Tiga remaja termasuk dua individu bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini berhubung kegagalan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pencegahan wabak COVID-19.

Lim Chun Hoe, 19, didakwa bersama seorang dari remaja bawah umur berusia 16 tahun mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Manakala seorang lagi remaja bawah umur berusia 15 tahun didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas sewaktu penguatkuasaan PKP dilaksanakan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang ketika itu menaiki sebuah kereta yang dipandu remaja berusia 15 tahun berkenaan didakwa tidak mematuhi arahan penguatkuasaan PKP dengan bergerak dari Taman Sungai Mas, di sini, menuju Jalan Air Kuning pada jam 3.00 pagi Ahad, 22 Mac lalu.

Chun Hoe bagaimanapun tidak begitu memahami pertuduhan dalam bahasa Melayu yang dibacakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faakihin Ahmad Fauzi di hadapan majistret Adibah Abdul Kadir.

Bagi kesalahan itu dia boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Adibah kemudiannya menetapkan tarikh 4 Mei depan untuk sebutan semula kes terhadap Chun Hoe dengan kehadiran jurubahasa Cina berdialek Hokkien.

Majistret juga membenarkan jaminan RM1,000 bagi ketiga-tiga tertuduh masing-masing dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Mohamad.

Difahamkan juga remaja berusia 15 tahun terbabit memandu tanpa lesen selain didakwa kerana cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya.

Loading...

1 Comment

  1. yartsa gunbu

    Kesian makbpak lim chun hoe. Dpat ank yg x cerdik. Tunjuk lagak ngengada je bleh harap.
    Ciss

Leave a Reply