Portal berita terbaik anda

Utama

3 penembak tuntut Syed Saddiq kotakan janji

KUALA LUMPUR: Tiga bekas penembak negara – Muslifah Zulkifli, Nur Suryani Taibi dan Nur Ayuni Abdul Halim – berharap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak sekadar membuat ‘janji kosong’ untuk bertemu mereka.

Menurut Muslifah, Syed Saddiq sebelum ini menyatakan kesudian untuk bertemu mereka bagi mendapatkan penjelasan di sebalik tindakan mereka menyaman Institut Sukan Negara (ISN) menerusi mesej yang dihantar oleh pegawai institut itu, Azwari Ahmad.

Bagaimanapun, katanya hingga setakat ini, langsung tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak beliau.

“Kami menerima mesej pada bulan Julai lalu dan hingga kini selepas hampir tiga bulan semuanya senyap begitu saja.

“Dalam mesej itu, menyatakan bahawa menteri sedia berjumpa dengan kami namun belum dimuktamadkan bila dan di mana perjumpaan itu akan dijalankan. Menurut Azwari beliau akan maklumkan kemudian selepas mendapat maklumat yang disahkan oleh pihak menteri,” katanya.

Tiga bekas penembak itu membawa kes mereka ke Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Tinggi sejak Oktober 2017 sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kes itu pada 6 Julai lalu dan kini dalam proses rayuan.

Berikutan itu, ketiga-tiga penembak itu berharap mereka dapat berjumpa dengan Syed Saddiq bagi meluahkan masalah yang berlaku.

“Pada mulanya kami tidak mahu mengganggu menteri kerana mungkin sibuk dengan Sukan Asia serta Para Asia dan sekarang kedua-dua temasya itu sudah tamat namun masih belum ada sebarang berita.

“Tapi dalam laman Twitter beliau saya lihat ada pula masa untuk bertemu dengan atlet lain seperti daripada sukan badminton, jadi itu yang menimbulkan persoalan sama ada beliau kini ada masa untuk kami atau sebenarnya hanya janji kosong,” katanya.

Untuk rekod, ketiga-tiga atlet itu mendakwa digugur daripada Program Podium tanpa alasan yang kukuh sehinggalah Nur Ayuni dan Muslifah disingkirkan daripada skuad menembak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Loading...

Leave a Reply