20,000 rakyat Terengganu dijangka sertai himpunan ICERD

0
139

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 20,000 rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman parti politik dijangka menghadiri perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember depan.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, himpunan bersejarah yang dianjurkan demi kepentingan dan kesatuan ummah serta daulah itu turut diramalkan akan mendapat penyertaan yang besar sebagaimana disasarkan.

“Semua sekali tidak kira Pas atau UMNO akan turun berhimpun. Himpunan ini juga terbuka, tidak kira mereka dari PKR atau parti mana, boleh hadir.

“Kita yakin jika tiada provokasi daripada mana-mana pihak, himpunan ini akan berjalan secara harmoni dan aman,” katanya.

Katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Pelantikan Jawatankuasa Masjid Daerah ini dan Kuala Nerus di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu ( JHEAT) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd. Soud Said dan Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri turut mengingatkan kalangan peserta agar sentiasa mematuhi peraturan dan nasihat yang digariskan pihak penganjur bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.

“Saya minta para peserta untuk tidak ambil kira dan terpengaruh dengan apa yang dikatakan atau provokasi oleh pihak luar,” katanya.

Perhimpunan yang dijangka disertai 1 juta orang itu akan berlangsung di Dataran Merdeka. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here