Portal berita terbaik anda

Utama

2 pelajar ‘carut’ guru didakwa di mahkamah

KOTA BHARU – Dua pelajar yang memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru sambil menunggang motosikal, Rabu lalu didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menghina.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, di sini, 4 petang 3 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 mengikut akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.

Terdahulu, tular di media sosial menyaksikan dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru.

Polis Kelantan juga telah mengeluarkan lima saman trafik terhadap dua pelajar yang membonceng motosikal dan menconteng belakang baju sekolah dengan perkataan kesat terhadap guru.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan menerima laporan berhubung tindakan pelajar berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua pelajar terbabit dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

Loading...

2 Comments

  1. NAK JAGA MARUAH BAngsa melzyu dan ajaran agama, , buang sekolah kedua duanya, bangsa merlayu tak rugi.

  2. Ani Idris

    Memalukan orang melayu…… ini kah perangai yang kamu tunjuk kepada orang lain setelah tamat peperiksaan? Cuba fikirkan kedua ibu bapa kamu yang telah membesarkan kamu dan menghabiskan duit mereka untuk pembelajaran kamu!!
    Ini kah yang kamu hadiahkan untuk mereka?? Fikir2kan lah…… cepatlah bertaubat.

Leave a Reply