2 lelaki pukul pekerja stesen minyak diminta serah diri

0
304

SUNGKAI: Polis meminta dua lelaki yang aksi mereka dirakam memukul dan membaling objek kepada seorang pekerja stesen minyak Petronas di sini pada 6 Oktober lalu, menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata mereka berdua yang dirakam dalam klip video berdurasi 42 saat yang tular itu perlu tampil membantu siasatan

“Kedua-dua saksi atau sesiapa yang mengenali saksi berkenaan boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Asisten Superintendan Ong Chin Yong di talian 012-2013048,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Klip video CCTV itu menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada jam 12.45 tengah hari, pada hari kejadian.

Menurut laporan polis yang turut menjadi viral, mangsa berusia 24 tahun dan tinggal di Kampung Changkat Sulaiman, dekat sini, mendakwa, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Berdasarkan laporan itu, lelaki berkenaan tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf namun tidak diendahkan lalu kumpulan lelaki berkenaan menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis mendakwa mengalami kesakitan di beberapa anggota badannya.

Wan Azharuddin yang dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan polis sudah merakam dua percakapan berhubung kes itu, 8 Oktober lalu, namun tidak menyatakan siapa individu berkenaan.

Setakat ini kes dikasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here