Portal berita terbaik anda

Utama

17 jam siapkan jambangan duit RM50,000

MARANG – Demi kepuasan pelanggan, ibu tunggal dua anak, Safiyah Alias sanggup menghabiskan masa hampir 17 jam untuk menyiapkan tempahan pelanggan iaitu menggubah jambangan wang kertas bernilai RM50,000.

Meskipun berpengalaman, Safiyah, 30 mengakui gementar kerana tempahan itu membabitkan jumlah wang yang banyak.

Namun, kesungguhan Safiyah menyiapkan tempahan itu berbaloi apabila pelanggannya berpuas hati dan turut mendapat pujian segelintir netizen selepas dia berkongsi video hasil kerjanya di TikTok baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Safiyah yang menetap di Bukit Payong, di sini berkata, dia sebenarnya bekerja sebagai pembantu jualan di kedai bunga dan menawarkan khidmat menggubah cenderahati termasuk wang bagi menambah pendapatan.

Katanya, jambangan wang berjumlah RM50,000 itu adalah satu daripada tempahan dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan, Wan Baha Uddin Wan Jaafar, 56 sebagai membuat kejutan kepada isterinya, Ermy Shafilah Othman, 41 pada satu majlis di sebuah hotel di Kuala Terengganu Sabtu lalu.

“Saya dihubunginya (Wan Baha Uddin) pada 23 Mac lalu dan kami kemudiannya berjumpa untuk berbincang mengenai rekaan serta perkara berkaitan.

“Kiranya, saya sudah dimaklumkan kira-kira seminggu lebih awal mengenai majlis kejutan itu, tetapi proses menyiapkan tempahan hanya dilakukan sehari sebelum majlis iaitu pada Jumaat lalu (2 April) bermula 11 pagi hingga 3.30 pagi keesokan harinya (3 April).

“Anak saudara ada membantu melilit duit dan selebihnya, saya lakukan sendiri iaitu daripada proses gubahan, balutan hingga kemasan akhir.

“Boleh dikatakan, saya tidak berganjak dan hanya rehat ketika makan, solat dan ke tandas kerana kerja itu memerlukan ketelitian supaya jambangan setinggi 182 sentimeter itu dapat disiapkan sebelum waktunya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Safiyah berkata, memandangkan nilai wang digubah agak besar, dia mengambil pendekatan tidak berkongsi dan memuat naik gambar atau video sepanjang melakukan gubahan.

Malah, Safiyah berkata, dia menggunakan khidmat pemandu lori yang dikenali untuk menghantar jambangan itu diiringinya dan rakan.

“Sebelum ini, saya pernah menerima tempahan menggubah wang bernilai RM34,000 dan RM37,000, namun kini nilainya lebih besar.

“Jadi saya sangat berhati-hati ketika menyiapkan tempahan itu dan menggunakan pita pelekat, bukan ‘stapler’ bagi mencantumkan setiap wang kertas berkenaan.

“Kaedah itu bagi memastikan wang tidak rosak. Alhamdulillah, hasilnya memuaskan serta tiada rungutan diterima daripada pelanggan setakat ini,” katanya.

Berhubung video yang tular di laman sosial, Safiyah tidak menyangka perkongsiannya di TikTok akan meraih lebih 1.8 juta tontonan.

“Jujurnya, saya muat naik video itu untuk berkongsi hasil kerja saja, bukannya mempromosi perkhidmatan ditawarkan.

“Tak sangka pula, ramai menonton dan selain pujian, ada juga kecaman diterima namun saya tidak boleh menyekat hak netizen untuk bersuara.

“Terima kasih kepada yang menyokong termasuk Wan Baha Uddin kerana memberi kepercayaan dan secara peribadi, saya kagum dengannya kerana tidak kisah mengeluarkan wang banyak demi menghargai pengorbanan isteri,” katanya.

Sementara itu, Wan Baha Uddin berkata, dia menghadiahkan isterinya, jambangan wang berkenaan bagi menghargai pengorbanan isteri menjaga keluarga dari segi makan minum, pakaian dan keperluan anak-anak selama ini.

“Saya sendiri tidak tahu video itu tular sehingga diberitahu isteri.

“Ada netizen yang mengatakan lebih baik gunakan wang itu untuk bersedekah namun saya percaya setiap individu ada cara menghargai isteri dan ini pendekatan saya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply