168 pesakit Covid-19 sembuh hari ini, lebih tinggi dari kes baharu

PUTRAJAYA – Selepas dua hari pesakit baharu melebihi kes pulih, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini kembali merekodkan bilangan discaj lebih tinggi berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 168 telah dibenarkan pulang hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 2,276 kes.

“Peratusan kes pulih adalah 47.23 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, terdapat 134 kes baharu telah dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,817 kes,” katanya.

Daripada keseluruhan kes positif, beliau berkata, sebanyak 2,464 kes masih dirawat di hospital.

“Sehingga kini 66 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 36 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan merekodkan pertambahan satu kematian melibatkan lelaki berumur 62 tahun dan mempunyai penyakit kronik.

“Ini menjadikan keseluruhan kes kematian 77 kes.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply