Portal berita terbaik anda

Utama

150,000 kenderaan dijangka masuk Terengganu sempena raya Cina

MARANG – Polis menjangkakan 150,000 kenderaan akan masuk ke Terengganu dari Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan laluan biasa sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Superintendan Abd Razak Hassan berkata, jumlah kenderaan itu meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa dan aliran trafik dijangka sesak pada 2, 3, 8 dan 9 Februari.

Menurutnya, daerah Kuala Terengganu antara jalan dijangka mengalami kesesakan adalah Jalan Sultan Mohamad (Gong Kapas), Jalan Tengku Mizan, bulatan Batu Enam dan laluan keluar plaza tol Kuala Terengganu.

“Bagi elak kesesakan LPT2, kita bekerjasama dengan pihak konsesi bagi mempercepatkan proses keluar lebuh raya dengan cara menambah lorong bayaran tol.

“Oleh itu bagi pengguna LPT2 perlu patuhi nasihat pihak konsesi lebuhraya bagi memastikan kesesakan dapat diatasi,” katanya selepas Kempen Keselamatan Jalanraya Ops Selamat 14/2019 sempena Tahun Baharu Cina di Kelulut, Marang hari ini.

Abd Razak berkata, selain Kuala Terengganu pihaknya turut mengenalpasti tiga lokasi lain yang dijangka mengalami kesesakan iaitu di laluan utama ke Kota Bharu, bandar Jertih, Besut dan persimpangan Chalok laluan utama dan persimpangan Guntung Luar, Setiu.

Sehubungan itu, polis telah mengenalpasti 23 kawasan yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri dan tumpuan akan diberikan kepada kawasan tersebut sepanjang Ops Selamat 14/2019 berlangsung selama dua minggu bermula hari ini.

Kawasan tersebut merangkumi 15 kawasan Jalan Persekutuan, lima kawasan Jalan Negeri dan tiga kawasan di LPT2.

Seramai 34 pegawai dan 203 anggota trafik akan bertugas sepanjang operasi berlangsung dan rondaan secara bermotosikal dilakukan lebih kerap di kawasan sering berlaku kemalangan seluruh negeri.

“Kita akan mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak mematuhi peraturan.

“Enam kesalahan utama iaitu melanggar had laju, tidak patuh lampu isyarat, mengguna telefon bimbit ketika memandu, potong barisan, guna lorong kecemasan dan potong garisan berkembar akan dikenakan kompuan mandatori,” katanya.

Beliau berkata, operasi ini akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan pencegahan jenayah.

“Operasi ini diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kes-kes pecah rumah,” katanya.

Loading...

Leave a Reply